Friday, December 7, 2012

Simptom yang perlu wanita Hamil risaukan!

Assalamualaikum

Kali ni YM nak kongsikan Artikel yang YM rasa  sangat-sangat berguna utk Ibu-Ibu yang hamil. Demi kesihatan dan keselamatan si Ibu dan juga kandungannya.

Tidak kira berapa luas anda telah baca atau berapa banyak berbincang dengan ibu-ibu yang lain mengenai kehamilan, ianya sukar untuk mengetahui sama ada apa yang anda rasakan semasa kehamilan adalah normal.

Berikut adalah simptom yang perlu anda risaukan. Jika anda sedang mengalami satu-satu daripada masalah berikut, hubungilah doktor anda dengan segera.

Anda rasa "tidak begitu sihat"
Jika anda tidak pasti mengenai satu simptom, tidak berasa seperti biasa atau berasa tidak selesa, percayalah dengan perasaan anda dan hubungi doktor anda. Jika terdapat masalah, anda akan dirawat dengan segera. Jika tiada masalah, anda akan berasa lega.

Doktor anda menjangkakan panggilan seperti ini dan akan sedia memberikan nasihat kepada anda. Badan anda berubah dengan cepat dan kadang-kala ianya sukar untuk mengetahui sama ada apa yang anda rasa adalah "normal" atau tidak.

Sakit di bahagian tengah abdomen
Sakit di atas-tengah abdomen yang teruk dan seperti menyucuk, dengan, atau tanpa, loya atau muntah adalah petanda beberapa keadaan. Ia menunjukkan samada:
  • ketakcernaan yang teruk;
  • virus dalam perut;
  • keracunan makanan.
Ia mungkin juga pra-eklampsia, satu keadaan serius yang memerlukan rawatan segera.


Sakit bahagian bawah abdomen
Sakit yang teruk di satu sisi atau kedua-dua sisi, atau di perut adalah petanda beberapa keadaan. Anda mungkin mengalami ligamen terkoyak/tertarik atau mungkin ia:
  • tanda kehamilan ektopik;
  • keguguran;
  • pelahiran pramatang;
  • fibroid yang merosot dan berdarah atau koyakan plasenta.
Demam
Jika suhu anda melebihi 37.5 darjah C, tetapi tanpa simptom flu atau selesema, hubungi doktor anda pada hari yang sama.

Jika suhu melebihi 39 darjah C, hubungi doktor anda dengan segera. Anda mungkin mempunyai jangkitan. Doktor anda akan memberikan anda antibiotik dan menasihatkan anda supaya berehat. Jika suhu anda melebihi 39 darjah C bagi jangka masa yang lama, ia akan membahayakan bayi dalam kandungan.

Gangguan penglihatan
Jika anda mengalami penglihatan berganda, kabur, malap, titik atau cahaya silau yang berlaku lebih dari dua jam, panggil doktor anda. Simptom-simptom ini adalah tanda-tanda pra-eklampsia.

Bengkak tangan, muka dan mata
Ramai ibu mengandung akan mengalami bengkak semasa kehamilan dan dalam kebanyakan kes, ini tidak perlu dirisaukan. Tetapi, jika simptom ini teruk atau berlaku tiba-tiba dan disertai dengan sakit kepala atau gangguan penglihatan, ia mungkin simptom pra-eklampsia.


Sakit kepala yang teruk dan berkekalan
Jika anda mengalami sakit kepala yang lebih dari dua atau tiga jam, bersama dengan gangguan penglihatan dan bengkak yang tiba-tiba pada tangan, muka dan mata anda, anda mungkin mempunyai pra-eklampsia.

Pendarahan vagina yang sedikit atau banyak
Pendarahan sedikit tanpa kesakitan mungkin tanda normal proses pelekatan apabila embrio melekat pada uterus di awal kehamilan atau pendarahan menunjukkan kejayaan menjadi hamil. Tetapi anda perlu hubungi doktor anda jika anda mengalami pendarahan semasa kehamilan kerana ini boleh menunjukkan komplikasi yang serius:
  • Pendarahan yang berbeza daripada normal haid anda (lebih banyak atau sedikit dan berwarna lebih gelap) bersama kesakitan teruk di satu sisi pada abdomen boleh menjadi tanda kehamilan ektopik.
  • Pendarahan yang banyak, terutamanya apabila bersama sakit belakang atau abdomen, boleh dikaitkan dengan keguguran yang sebenar atau berpotensi.
  • Dalam peringkat akhir kehamilan, pendarahan menunjukkan plasenta praevia, koyakan plasenta yang berlaku apabila plasenta mula berpisah dengan dinding uterus atau kelahiran pramatang (perlahiran yang bermula sebelum minggu ke-37).

Rembesan cecair dari vagina
Rembesan cecair dari vagina sebelum minggu ke-37 bermakna membran anda telah pecah awal. Doktor anda akan memasukkan anda ke hospital supaya anda boleh mendapatkan rawatan untuk mencegah jangkitan dan membuat persediaan untuk kelahiran pramatang.

Selepas 37 minggu, anda mungkin akan mula proses pelahiran. Hubungi doktor anda untuk berbincang mengenai pilihan anda jika perlahiran tidak bermula dalam 24 jam.

Peningkatan rasa dahaga
Jika anda tiba-tiba dahaga tetapi kurang kencing, ini mungkin tanda penyahhidratan atau diabetis kehamilan (atau diabetis gestasi). Keduanya meningkatkan risiko komplikasi bagi anda dan bayi anda.

Sakit semasa kencing
Sakit semasa pengencingan diikuti dengan suhu tinggi, menggigil dan sakit belakang mungkin tanda-tanda jangkitan saluran urin. Jumpalah doktor. Dia akan merawat dengan antibiotik.


Muntah yang teruk
Muntah lebih daripada dua hingga tiga kali sehari akan menyahhidratkan dan melemahkan anda tanpa membahayakan bayi anda. Anda perlu hubungi dengan doktor anda jika anda mengalami muntah yang teruk dan berterusan (hiperemesis gravidum) kerana mungkin anda perlu dimasukkan ke hospital.

Muntah yang bermula di peringkat akhir kehamilan dan diikuti dengan sakit di bawah tulang rusuk adalah tanda pra-eklampsia. Jika anda muntah diikuti dengan kesakitan dan suhu yang tinggi ia mungkin disebabkan oleh jangkitan. Dalam kedua kes, hubungi doktor anda.


Pengsan atau pening
Ini mungkin tanda yang anda tidak cukup makan pada hari itu tetapi ia juga bermakna anda mungkin mempunyai tekanan darah rendah. Ramai wanita berasa pening-pening lalat semasa kehamilan. Jika pengsan, hubungi doktor anda untuk memastikan tiada masalah.

Pergerakan bayi semakin perlahan
Tiada pergerakan atau pergerakan bayi anda perlahan lebih daripada 24 jam selepas minggu ke-21 mungkin petanda yang bayi anda tertekan. Jika anda sedar bahawa bayi anda kurang bergerak daripada biasa, hubungi doktor anda. (Baca lebih lanjut mengenai pergerakan bayi anda, termasuk bila perlu meminta bantuan).


Kegatalan seluruh badan pada peringkat akhir kehamilan
Simptom-simptom ini menunjukkan masalah berkaitan hati seperti obstetrik kolestasis. Jika anda mengalami obstetrik kolestasis, anda mungkin juga mengalami jaundis, dengan urin berwarna gelap dan najis yang pucat.

Kegatalan adalah normal kerana kulit anda meregang untuk menyesuaikan keadaan dengan bayi anda yang sedang membesar, tetapi lebih baik jika anda membuat pemeriksaan, terutamanya jika kegatalan itu teruk pada waktu malam dan melibatkan tapak kaki dan tangan anda.


Anda jatuh atau terhentak pada perut
Jatuh tidak selalunya membawa bahaya, tetapi hubungi doktor anda pada hari yang sama dan jelaskan apa yang berlaku. Jika anda tergelincir di tangga dan tulang punggung anda tercedera, anda tidak perlu risau. Bayi anda selamat dilindungi oleh uterus dan cecair amnion.

Walau bagaimanapun, komplikasi mungkin berlaku dalam sesetengah kes. Jika anda mengalami kontraksi, rembesan cecair atau sebarang pendarahan, hubungi doktor anda dengan segera atau pergi ke hospital terdekat.

Take care all Mommies & Mommy-to-be!

Advert
Amalkan pengambilan ESP semasa hamil.Sangat baik utk Ibu dan juga anak dalam kandungan.
Mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia & Halal (ISA)yang diiktiraf oleh JAKIM.
Maklumat lanjut/tempahan, sila hubungi 

 

0 Sweet Words: